KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang mempergiat usaha memperkukuh kerangka perundangan dan institusi bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama pelaburan langsung asing (FDI) yang mampan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pengurusan sumber asli secara bijak adalah kunci untuk menarik pelaburan yang mampu melonjakkan rantaian nilai industri negara selaras dengan standard Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global.
Bagi menyokong matlamat ini, katanya, NRES sedang memuktamadkan dua tunjang perundangan utama iaitu RUUPIN (RUU Perubahan Iklim Negara) dan RUUIKLIM (RUU Lembaga Perubahan Iklim Negara).
“RUUPIN akan memaktubkan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran Pelepasan Sifar Bersih menjelang 2050 ke dalam undang-undang serta mewujudkan sistem pelaporan mandatori melalui Depositori Data Iklim Bersepadu Kebangsaan bagi menjamin ketelusan data.
“Manakala RUUIKLIM pula memudah cara penubuhan Lembaga Perubahan Iklim Negara sebagai sebuah badan bebas yang bertindak sebagai referee dalam mengawal selia mekanisme perdagangan karbon dan menguruskan Dana Iklim Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pejabat baharu Yamada Consulting & Spire di Kuala Lumpur semalam.
Arthur memberitahu, gabungan kedua-dua rang undang-undang ini memberikan kepastian undang-undang dan kekuatan institusi untuk meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa.
Selain itu, kata beliau, kementerian juga sedang memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Negara (DPKK) yang selaras dengan sasaran pengurangan pelepasan karbon negara di bawah Third Nationally Determined Contribution (NDC 3.0).
“Usaha ini akan turut diperkukuh melalui pelaksanaan rangka kerja Sistem Perakaunan Ekonomi-Alam Sekitar (SEEA) bagi mengintegrasikan nilai aset alam semulajadi seperti hutan dan paya bakau ke dalam perancangan pembangunan ekonomi negara,” jelasnya.
Sambil menekankan kepentingan mantra “One Team, One Mission” dalam mendepani cabaran alam sekitar, Arthur turut menyeru penglibatan aktif sektor swasta dan pakar industri untuk bekerjasama rapat dengan penggubal dasar bagi memastikan penggunaan sumber asli negara diuruskan secara optimum dan bertanggungjawab demi kesejahteraan generasi akan datang.


