NSRC benteng utama tangani jenayah siber – Saifuddin

PENGUKUHAN operasi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sebagai pusat respons 24 jam sehari, tujuh hari seminggu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memperhebat usaha membanteras jenayah siber.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peluasan operasi itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam melindungi keselamatan kewangan rakyat menerusi pendekatan whole-of-government.

“Sepanjang tahun lalu, NSRC merekodkan pencapaian memberangsangkan dalam melindungi kepentingan mangsa penipuan kewangan dalam talian.

“Kita mengendalikan 146,167 panggilan aduan dan melaksanakan tindakan pembekuan ke atas 138,915 akaun yang terlibat,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran rasmi pusat itu di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menurut beliau, hasil tindakan pantas NSRC, sejumlah RM34.05 juta berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan sindiket penipuan tahun lalu.

Tambahnya, terdapat peningkatan ketara dalam pemulangan wang kepada mangsa melalui proses earmarking.

“NSRC mencatat lonjakan signifikan dalam pemulangan dana kepada mangsa, meningkat daripada RM508,479.39 pada 2024 kepada RM6.65 juta pada 2025,” katanya.

Tambah beliau, momentum itu berterusan pada tahun ini apabila setakat Januari, sebanyak RM1.44 juta lagi berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal.

NSRC yang memulakan operasi awal pada 7 Oktober 2022 diterajui Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta National Anti-Financial Crime Centre.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian 997 bagi membuat laporan kepada NSRC sekiranya menjadi mangsa penipuan.

“Lebih cepat mangsa menghubungi, lebih pantas Bank Negara dapat menyekat pemindahan wang. Ini sangat penting,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img