SEORANG wanita yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Kajang sejak Isnin lalu ditemui dalam keadaan selamat di sekitar daerah itu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, Nur Dinie Sani Hasrul Sani, 25, ditemui semula sekitar Kajang kira-kira jam 11 pagi tadi.
“Siasatan mendapati, wanita berkenaan menginap di sebuah hotel di Negeri Sembilan sepanjang tempoh menghilangkan diri dan tekanan kerja dikenal pasti antara faktor kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, wanita itu kemudian pulang sendiri sebelum ditemui semula pihak polis di sekitar Kajang.
“Wanita itu didapati selamat dan tiada kecederaan sebelum tindakan lanjut diambil pihak polis,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang membantu pihak polis mengesan wanita berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang memerlukan bantuan atau nasihat berkaitan pengurusan tekanan boleh menghubungi talian Kasih 15999 bagi mendapatkan khidmat kaunseling atau nasihat pakar.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesan seorang wanita berusia 25 tahun yang dilaporkan hilang sejak 9 Mac lalu.
Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan wanita itu pada 12.16 tengah hari, 9 Mac lalu selepas mangsa kali terakhir dilihat di Apartment Sri Cempaka di Kajang.


