JABATAN Imigresen (JIM) Terengganu menahan seramai 226 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Mega yang dijalankan secara bersepadu di Setiu, semalam.
Operasi di tapak pembinaan di Merang itu bermula jam 10 pagi hingga 5 petang dengan kekuatan anggota seramai 64 orang termasuk pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu serta Pasukan Tindakan Khas (Pastak) Imigresen Putrajaya.
Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, seramai 316 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 226 ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, semua warga asing yang ditahan membabitkan warga Bangladesh seramai 222 orang, tiga warga Indonesia dan seorang warga India berusia antara 20 hingga 55 tahun.
“Kesalahan membabitkan Seksyen 6(1) kerana tidak memiliki dokumen diri, Seksyen 15(1) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas atau permit kerja,” katanya selepas mengetuai operasi berkenaan, lapor Buletin TV3.
Mohd Yusri berkata, sejak Januari hingga semalam, pihaknya menahan seramai 415 PATI membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan, Thailand, Kemboja, India dan Nepal.
Katanya, operasi berkenaan adalah membabitkan tangkapan paling ramai dan terbesar di negeri ini setakat ini.
“Keberadaan PATI di negeri ini tidak pada peringkat serius dan masih boleh dikawal dengan kesalahan yang banyak dikesan adalah yang membabitkan langgar syarat pas atau permit kerja.
“Sebagai contoh permit sektor pembinaan di Johor Bharu tetapi bekerja di sini Terengganu,” katanya.
Kesemua PATI terbabit dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk tindakan lanjut.


