Op Pintas Khas: Polis selamatkan 138 warga asing termasuk 57 kanak-kanak dijadikan buruh paksa

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan sebanyak 138 warga asing termasuk 57 kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dan dieksploitasi menjadi buruh paksa menerusi Op Pintas Khas yang dilancarkan serentak di seluruh negara, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 58 lelaki dan 23 wanita berusia 18 hingga 51 tahun, selain 39 kanak-kanak lelaki serta 18 kanak-kanak perempuan termasuk seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya.

Beliau berkata, mangsa yang terlibat terdiri daripada pelbagai warganegara iaitu lapan rakyat tempatan, Filipina (8), Indonesia (34), Bangladesh (13) dan Myanmar (75).

“Sebanyak 77 serbuan dilaksanakan di seluruh negara dengan pecahan 12 serbuan sektor perkilangan, 19 serbuan sektor perladangan, 41 serbuan sektor perkhidmatan atau perniagaan dan lima serbuan lain-lain sektor.

“Indikator buruh paksa dan pemerdagangan orang yang dikenal pasti termasuk eksploitasi kerentanan, pemerdayaan, kawalan pergerakan, pengurungan, penahanan dokumen identiti, penahanan gaji, kondisi kerja dan tempat tinggal yang terabai serta kerja lebih masa melampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kumar, dalam operasi itu seramai 67 individu terdiri 42 warga tempatan dan 25 warga asing berusia 30 hingga 69 tahun yang disyaki majikan serta penyelia mangsa turut ditahan.

Beliau berkata, operasi tersebut dilaksanakan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman dengan kerjasama NSO MAPO Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar serta pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, fokus operasi adalah bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi buruh) khususnya di sektor perladangan kelapa sawit, pembuatan sarung tangan getah dan lain-lain.

Tambah beliau, mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk tanpa pas sah, tinggal lebih tempoh dibenarkan serta mengambil pekerja tanpa pas kerja sah.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img