“Motosikal yang disita akan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.
“Selain itu, seorang remaja ditahan dalam operasi ini di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala seorang lagi melarikan diri dan meninggalkan motosikal yang kita akan bawa balik untuk tindakan lanjut terhadap pemilik,” katanya pada sidang media ketika meninjau operasi di Jalan Semarak awal pagi tadi, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kebanyakan individu yang diperiksa dan disyaki melakukan kesalahan terdiri daripada golongan remaja berumur antara 15 hingga 21 tahun.
Mengulas lanjut, Suffian berkata, operasi itu dijalankan secara berterusan bagi membendung kegiatan lumba haram dan samseng jalanan, khususnya di kawasan yang sering menerima rungutan orang awam.
“Antara faktor lokasi operasi ‘hot spot’ dipilih kerana sering menjadi tumpuan samseng jalanan yang menyebabkan gangguan kepada orang awam.
“Setakat ini, tindakan ini akan kita laksanakan secara berterusan. Pihak JSPT Kuala Lumpur tidak akan berdiam diri dan sentiasa mengambil tindakan tegas,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa memberi perhatian serius terhadap anak-anak bagi mengelak mereka terjebak dalam aktiviti samseng jalanan.
“Peranan ibu bapa adalah paling utama. Pastikan anak-anak tidak termakan pujukan rakan atau memberi alasan tidak wajar untuk berada di jalan raya.
“Kita akan terus melaksanakan operasi bagi membendung samseng jalanan dan lumba haram terutama di sekitar ibu kota,” katanya.