PASUKAN Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM1.78 juta menerusi Op Taring Landai di sekitar Shah Alam, semalam.
Turut ditahan dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun yang memandu dua van berasingan dengan muatan kotak rokok.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, menerusi operasi pertama, seorang lelaki ditahan ketika memandu van putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan Saujana Putra sebelum Plaza Tol Saujana Putra (SKVE).
“Pemeriksaan lanjut menemukan kotak rokok disyaki tidak bercukai.
“Manakala tangkapan kedua dilakukan di Kilometer 5.2 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah tol Bukit Raja susulan memeriksa sebuah van menemukan rokok seludup tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan IPD Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.


