JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menubuhkan lima pasukan terdiri daripada 10 anggota yang menyamar sebagai penumpang untuk mengesan kesalahan pemandu bas sepanjang Ops Khas Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 dari 16 hingga 29 Mac ini.
Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, taktik penyamaran dengan menempatkan anggota di dalam bas ekspres bertujuan memastikan semua pemandu peka terhadap pemanduan kenderaan ketika membawa penumpang.
Menurut beliau, sebanyak 44 siri penyamaran akan dijalankan di laluan Kuala Terengganu-Pahang, Pahang-Kuala Terengganu, Kuala Terengganu-Kelantan, Kelantan-Kuala Terengganu, Kuala Terengganu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kuala Terengganu.
“Kita juga akan melaksanakan strategi intensif dengan meletakkan kain rentang di beberapa lokasi untuk memastikan bukan hanya pemandu bas malah penumpang juga mempunyai persepsi akan ditangkap sekiranya melakukan kesalahan seperti tidak memakai tali pinggang keledar.
“Daripada segi keselamatan bas, kita akan jalankan pemeriksaan di depot-depot bagi memastikan kenderaan tersebut dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada media selepas mengetuai Ops Khas HRA 2026 dan Ops Motosikal (Rempit) di Jambatan Angkat di Kuala Terengganu, malam tadi.
Mohd Zamri berkata, sebanyak 22 penunggang motosikal termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditahan dalam Ops Motosikal (Rempit).
Beliau berkata, semua motosikal telah disita atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan pengubahsuaian ekstrem dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh.
“Ada sesetengah motosikal dicabut brek belakang untuk menambah kelajuan selain pengubahsuaian membabitkan model motosikal, blok enjin dan sebagainya. Kenderaan yang diubah suai meningkatkan risiko kematian sekiranya berlaku kemalangan.
“Atas sebab itu, JPJ Terengganu mengambil langkah meningkatkan Ops Khas Motosikal bagi menjaga keselamatan dan memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan penunggang,” katanya.
Mohd Zamri berkata, bermula 1 Januari hingga 11 Mac lalu, pihaknya menyita 149 motosikal dan mengeluarkan 5,606 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Khas Motosikal.


