JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan sebanyak 41 pendatang asing tanpa izin dalam operasi Ops Sapu yang dijalankan di beberapa premis di sekitar Skudai, Johor Bahru malam tadi.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula jam 11 malam itu memfokuskan pemeriksaan terhadap premis perniagaan yang dijadikan tempat tinggal, kawasan tumpuan warga asing serta lokasi berisiko tinggi.

“Kesemua pendatang tanpa izin itu terdiri daripada tujuh lelaki Indonesia, 19 lelaki Myanmar, 11 wanita Myanmar serta empat wanita Indonesia berusia antara 16 hingga 49 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi disertai 30 pegawai dan anggota penguat kuasa JIM Johor, dijalankan selepas bertindak hasil risikan dan pemantauan berterusan di kawasan terlibat.

Ketika serbuan, ada dalam kalangan pendatang tanpa izin itu sedang berehat di bahagian atas premis perniagaan manakala sebahagian lagi cuba mengelak daripada pemeriksaan dengan melarikan diri serta bersembunyi di dalam bilik.
Mohd Rusdi berkata, antara kesalahan dilakukan mereka ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.


