Padah buang puntung rokok, lelaki didenda RM1,500

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengenakan denda RM1,500 terhadap seorang buruh lelaki selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, bulan lalu.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ajmal Haziq Zulkarnain, 30, selaku orang kena saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan, lapor Bernama.

Lelaki itu didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal terbabit, di hadapan restoran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 10.39 malam, 1 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), A’ala Shah Md Yusop memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.

Bagaimanapun, Ajmal Haziq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, selain mengakui kesalahan dilakukannya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img