Padah curi, simpan pakaian dalam wanita: Lelaki pengangkut gas dipenjara 25 bulan

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas dua pertuduhan mencuri dan menyimpan pakaian dalam seorang wanita, awal minggu ini.

Muhammad Hariz Abdullah, 36, mengaku bersalah sebelum Majistret Lee Kim Keat menjatuhkan hukuman penjara 25 bulan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, pekerja pengangkut tong gas memasak itu didakwa mencuri beberapa helai pakaian dalam wanita berusia 32 tahun di sebuah rumah di Taman Alam Indah, Tangkak pada jam 4.47 pagi, 9 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyimpan harta curi berupa pakaian dalam mangsa sama di Kampung Paya Pupuk Solok Jaya, Tangkak pada jam 4.10 petang, 10 Februari lalu.

Bagi pertuduhan itu, Muhammad Hariz didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis selepas mendapati pakaian dalam yang dijemur di ampaian dalam pagar rumahnya hilang.

Mangsa yang curiga kemudian memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di rumahnya sebelum melihat kelibat lelaki tidak dikenali sedang mengambil pakaian tersebut.

Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan tertuduh di satu kawasan perumahan hasil maklumat awam serta intipan yang dijalankan.

Semakan mendapati tertuduh turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan hukuman bagi pertuduhan pertama ialah 10 bulan penjara manakala pertuduhan kedua 15 bulan, dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img