Pahang laksana dasar bekerja dari rumah dua hari seminggu

KERAJAAN  Pahang akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) dua hari seminggu secara bergilir-gilir bagi penjawat awam di negeri itu mulai minggu depan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan BDR dijangka mengurangkan perbelanjaan harian seperti kos perjalanan, bahan api, tol, makan minum serta pengurusan keluarga.

Beliau berkata,  keputusan itu dibuat bagi membantu meringankan beban rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan global, termasuk konflik di Asia Barat.

“Pelaksanaan dasar ini akan dibuat secara tersusun dan berjadual tanpa menjejaskan kecekapan operasi serta sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, ketua jabatan dan agensi akan menyelaras pelaksanaan dasar itu mengikut keperluan perkhidmatan serta fungsi masing-masing.

Menteri Besar Pahang itu  turut menggalakkan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun di Pahang mempertimbangkan pendekatan kerja fleksibel, termasuk BDR, jika bersesuaian.

Hari ini jurucakap kerajaan Datuk  Fahmi Fadzil memaklumkan, dasar BDR bagi sektor awam pada peringkat persekutuan sudah hampir dimuktamadkan sebelum diumumkan secara rasmi.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri telah menerima taklimat terkini mengenai dasar itu yang sedang dihalusi sebelum dimuktamadkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img