KENDERAAN pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang hanyut bersama seorang lelaki dalam kejadian kepala air di Pintasan Saloma, Sungai Klang ditemukan kira-kira 1.5 kilometer (km) dari lokasi kejadian, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kenderaan itu ditemui 8.30 pagi, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung hari ini.
Menurutnya, kenderaan berkenaan ditemui tanpa mangsa selepas paras air sungai turun hampir satu meter.
Cuaca hari ini agak baik dan operasi SAR akan diteruskan sehingga 7 malam.
Penemuan kenderaan ini membantu kita memfokuskan semula laluan arus yang mungkin membawa mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Beliau berkata, kereta itu kemudian diserah kepada syarikat pemilik kenderaan itu.
Beliau turut mengesahkan bahawa telefon mangsa yang dilaporkan masih berdering semalam kini tidak lagi aktif, namun polis masih mendapatkan klu untuk mengecilkan skop pencarian.


