Panglima Tentera Darat bercuti serta-merta, Panglima TLDM pangku tugas Panglima ATM

PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.

Manakala Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dilantik memangku tugas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-dua perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Muhammad Hafizudeain bercuti  bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan pegawai kanan berkenaan.

“Bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan.

“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya.

Mengenai pelantikan Zulhelmy, beliau berkata, pelantikan itu susulan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam mencapai umur persaraan wajib.

“Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Jeneral Tan Sri Mohd Nizam sepanjang menerajui ATM serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu pada 22 November lau, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan persaraan Mohd Nizam dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Razali Alias, tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan Op Sohor tiada kaitan dengan persaraan dua pegawai tinggi berkenaan dan pihaknya juga tiada maklumat berkaitan persaraan mereka.

Sebelum itu, Mohamed Khaled juga memaklumkan persaraan Mohd Nizam dan Mohd Razali tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor, kes penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera disyaki terbabit kes penyeludupan dadah Ogos lalu.

Beliau turut mengesahkan kedua-dua mereka akan bersara pada umur 60 tahun mengikut tarikh persaraan wajib masing-masing seperti biasa tahun hadapan.

Mohd Nizam dijadual mula bercuti 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali pada Disember 2026.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan lima pegawai perisik tentera daripada Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO), sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan disyaki didalangi pegawai kanan ATM terbabit yang beroperasi di selatan tanah air.

Selain pegawai ATM itu, dua wartawan dan seorang wanita warga asing ialah antara 10 individu direman SPRM hasil pelaksanaan Op Sohor.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img