PAS Pulau Pinang menuntut agar Timbalan Ketua Menteri 1 negeri itu Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid meletakkan jawatan serta-merta daripada semua jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran dan kepimpinan institusi agama Islam di negeri ini.
Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, Pas memandang serius pendedahan demi pendedahan yang melibatkan dakwaan amalan kronisme, nepotisme serta salah guna kuasa dalam pengurusan institusi khususnya yang berada di bawah seliaan Dr.Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
‘’Tindakan berundur adalah langkah paling wajar bagi memulihkan keyakinan rakyat dan memberi laluan kepada siasatan yang telus tanpa sebarang pengaruh kuasa. Institusi agama Islam tidak boleh dijadikan alat kepentingan peribadi atau politik. Amanah umat Islam wajib dipelihara, dan sesiapa yang gagal menunaikannya dengan adil dan jujur tidak lagi layak memimpin,’’ katanya dalam kenyataan.
Pada Ahad, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy, mengesahkan pihaknya akan memanggil beberapa individu berkaitan bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut Karunanithy, pihaknya akan merakamkan keterangan individu terlibat dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.
Beliau berkata, isu yang dibangkitkan bukan isu remeh atau bersifat pentadbiran semata-mata, sebaliknya melibatkan amanah umat Islam, pengurusan dana zakat dan wakaf bernilai jutaan ringgit, serta maruah institusi agama yang sepatutnya dipelihara dengan penuh integriti dan ketelusan.
‘’Amalan pelantikan individu tertentu berdasarkan hubungan kepentingan, penguasaan melampau dalam membuat keputusan, serta kegagalan memastikan tadbir urus yang adil dan telus jelas mencerminkan kepimpinan yang tidak beramanah,’’ katanya.
Beliau berkata, keadaan ini bukan sahaja mencemarkan imej Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang mengharapkan institusi agama diurus secara profesional, bebas dan bertanggungjawab.
‘’Pas Pulau Pinang akan terus komited mempertahankan integriti institusi Islam serta memastikan pengurusan agama di negeri ini kembali kepada landasan amanah, keadilan dan ketakwaan,’’ katanya.


