PAS menyeru rakyat supaya terus memelihara keharmonian dan memilih jalan kesederhanaan dalam kehidupan bermasyarakat, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemikir klasik China, Confucius mengingatkan bahawa ‘keharmonian adalah sesuatu yang mesti dialu-alukan’.
“Dalam masyarakat kita yang berbagai latar belakang, keharmonian bukanlah keseragaman, tetapi berdiri atas sikap saling-menghormati dan memahami.
“Apabila kita menjunjung ketertiban, kesopanan dan keadilan, maka kita juga turut memperkukuh asas perpaduan dan keharmonian sesama kita,” katanya dalam kenyataan sampena sambutan Tahun Baharu Cina, esok
Dalam masa sama, beliau memetik pandangan Lao Tzu yang memberi amaran mengenai sikap berlebih-lebihan dan melampau sebagai racun yang membawa kerosakan serta kemusnahan.
Mengambil kata-kata tokoh itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengingatkan bahawa ‘apabila sesuatu mencecah titik ekstrem, maka langkah mundurnya pun telah bermula’.
Sehubungan itu katanya, Pas mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Cina dengan harapan agar tahun itu diisi dengan keamanan, kemakmuran, kesihatan serta harapan baik untuk setiap keluarga dan individu.
Beliau berkata, sambutan Tahun Baharu adalah masa untuk berhimpun bersama ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai atas semangat kekeluargaan serta persaudaraan dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan kesejahteraan.
“Atas semangat saling menghormati dan persefahaman, marilah kita terus memperkukuh perpaduan, menegakkan keadilan dan bekerjasama dalam membina Malaysia yang makmur dan harmoni,” katanya.
Sempena sambutan kali ini juga, beliau mengajak rakyat memperbaharui tekad dan iltizam untuk memilih jalan kesederhanaan, kesabaran, kejujuran serta kebijaksanaan sebagai pedoman dan resipi kekal dalam membina masa depan bersama yang sihat dan bermakna.
“Selamat Tahun Baru Cina. Semoga Malaysia terus maju dalam keharmonian dan kesederhanaan,” katanya.


