SUARA AWANG SELAMAT
SALAH seorang ahli politik yang Awang hormati ialah Presiden MCA Wee Ka Siong sebab beliau cakap secara terbuka dan telus dalam sesuatu isu. Ia termasuklah juga dalam bab ke mana haluan MCA selepas ini.
Apa juga pilihan MCA itu hak MCA. Dengan siapa MCA nak kawan itu hak MCA. Tapi bila Ka Siong membayangkan mereka mungkin tak join PN kecuali Pas ‘membuat pembaharuan menjadi parti lebih sederhana’, Awang rasa itu tak payah layan.
Pas ada pendekatan sendiri dan Pas ada perjuangan sendiri. Selama inipun tanpa sokongan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina Pas sudah memerintah empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Kalaupun Pas bersama-sama dengan MCA belum tentu pengundi Cina akan mengundi Pas. Macam mana kalau pengundi Cina terus tolak Pas dan pengundi Melayu yang sokong Pas selama ini pula merajuk sebab Pas korbankan prinsip perjuangannya sebab nak kawan dengan parti lain?
Ka Siong cakap soal lebih sederhana…nak sederhana macam mana lagi? Dalam Pas sudah ada sayap bukan Melayu. Di negeri-negeri tertentu yang Pas perintah tak adapun orang bukan Melayu dianiaya.
Apa masalahnya Pas putus hubungan dengan DAP dulu? Itu hak Pas dan ada sebab mereka berbuat demikian, tak pelik pun. Yang pelik tu kenapa MCA tak boleh duduk dalam satu gabungan dengan DAP. Kenapa nak keluar BN, kalau UMNO terus bekerjasama dengan DAP?
Kaum Cina tak marah ke, MCA tak nak kawan dengan DAP? Kenapa pula bila Pas tak kawan dengan DAP…’’menjadikan pengundi Cina lebih sukar terima Pas’’ – Teori politik mana Ka Siong pakai?
Satu lagi nak tanya, sapa yang selama ini beri gambaran buruk pasal Pas? Kenapa takut sangat dengan Pas? Pernahkah pemimpin MCA duduk semeja dengan Pas dan dengar betul-betul apa yang Pas perjuangkan? Pernahkah MCA minta melawat negeri-negeri yang diperintah oleh Pas untuk tengok sendiri dan dengarkan sendiri daripada kerajaan negeri bagaimana Pas memerintah?
Awang rasa Pas tak perlu layan MCA. Terpulanglah ke manapun MCA nak pergi dan dengan siapa pun MCA nak berkawan. Itu hak MCA tetapi jangan paksa Pas untuk ikut telunjuk politik MCA atau mana-mana parti.
Awang juga nak nasihatkan kepimpinan PN ‘jangan dok gatal-gatal’ nak berunding dengan MCA kalau dah tahu MCA tolak Pas. Nyawa PN di tangan Pas bukan di tangan Bersatu yang tengah dok bergaduh sesama sendiri tu.. apatah lagi Gerakan.
Jangan dok buat-buat taktikal masa pilihan raya tak bergabung, lepas pilihan raya bergabung. Semua tu bagi rakyat marah. PN kena ikut style politik PKR dan DAP, ‘kalau nak join kami, ikut cara kami’…itu barulah betul.
Awang cakap ni ikhlas, bukannya sokong Pas membuta tuli. Yang mana Pas betul Awang sokong, yang mana Pas salah Awang tegur tapi bila ada orang nak Pas ubah pendekatan kalau nak berkawan dengan mereka..Awang rasa tak betul… mana boleh sesuatu parti tak kisahlah pembangkang atau kerajaan…nak suruh parti lain ubah pendekatan mereka.
Yang penting mesej Awang ialah sampai bila parti-parti Melayu ni nak kena ikut cakap orang lain semata-mata nak menang pilihan raya atau nak duduk dalam kerajaan sampai beri alasan ‘politik ini dinamik’….tak perlupun buat macam tu.
Sebab kalau parti-parti Melayu betul-betul kuat dan bersatu, insha-Allah pengundi bukan Melayu pun akan sokong. Tapi masalahnya parti Melayu berpecah, dah la berpecah…dok serang sesama sendiri…paling teruk dalam parti sendiripun berkeceramuk..krisis tak habis-habis!
Awang – tak suka ikut telunjuk


