Kegiatan licik pasangan kekasih selama setahun mencuri dengan memecahkan cermin kereta di parkir awam, akhirnya tumbang apabila kedua-duanya ditahan polis, Sabtu lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pasangan berusia 36 dan 47 tahun itu disyaki terlibat dalam 21 kes pecah cermin kereta melibatkan kerugian lebih RM100,000.
Beliau berkata mereka ditahan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sri Cemerlang, susulan kejadian pecah cermin pada 6.10 petang hari yang sama di parkir Pasaraya Eco, Jalan Wakaf Mek Zainab.
Penahanan itu katanya membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit, sebuah peranti elektronik, sebuah komputer riba, tujuh beg pelbagai jenis, tiga kad bank, lima kad peribadi, sebuah kereta Perodua Bezza, kotak skru, spanar serta sebentuk cincin.
“Siasatan mendapati mereka aktif sejak setahun lalu dan lelaki itu turut mengaku melatih beberapa pelatih baharu. Modus operandi mereka ialah menyasarkan parkir premis tanpa kamera litar tertutup bagi mengelak dikesan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan Kota Bharu, lapor Bernama.
Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah narkotik dan satu rekod jenayah manakala pasangannya tidak mempunyai rekod lampau.
”Pasangan itu yang turut didapati positif metamfetamina direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.


