SEORANG lelaki warga emas berusia 81 tahun ditahan selepas disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita berusia 69 tahun di sebuah rumah di Lubok China, di Alor Gajah, Melaka pada malam Isnin.
Difahamkan, serbuan kira-kira jam 10 malam itu dilakukan oleh imam, ketua kampung bersama anggota polis serta penduduk kampung sebelum memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Kedua-dua mereka ditahan untuk tindakan lanjut selepas gagal menunjukkan dokumen sah pernikahan.
Gambar serbuan terbabit turut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Menurut sumber kariah masjid, lelaki berkenaan yang baharu kehilangan isteri bulan lalu merupakan seorang peniaga dan sering dilihat keluar bersama wanita terbabit.
“Penduduk sebelum ini sudah menegur tindakan pasangan warga emas terbabit yang sering dilihat keluar berdua.
“Tetapi mereka bukanlah tinggal bersama di rumah itu, cuma ketika serbuan dibuat, hanya mereka berdua yang berada di dalam rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Pasangan itu kemudian dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.
UNDILAH | 



