BELUMPUN tidak sampai sebulan pentadbiran Kerajaan Perlis diterajui oleh Bersatu berikutan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar, tidak mustahil krisis politik akan kembali melanda negeri itu.
Jika sebelum ini isu akuan bersumpah penarikan sokongan oleh tiga ADUN Pas dan lima ADUN Bersatu terhadap ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli menjadi punca, kali ini isu pengguguran keahlian bekas tiga ADUN Pas dalam Pas pula dilihat akan menjadi penyebab.
Mereka adalah Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).
Selepas tiga bekas ADUN itu dilihat menghadiri pertemuan bekas Pengerusia Perilkatan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin di Perlis semalam yang menimbulkan persoalan dalam kalangan pemimpin Pas, hari ini Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli bagaikan memberi amaran kepada Abu Bakar Hamzah supaya tidak mencampuri parti itu.
Peringatan itu dilihat semakin ‘menjejaskan’ lagi hubungan Pas dengan Abu Bakar yang sebelum ini ‘agak dingin’ berikutan peletakan jawatan Mohd Shukri yang dianggap oleh Pas sebagai ‘pengkhianatan’.
Dalam kenyataannya di Facebook beliau, Ahmad Fadhli membuat teguran itu, susulan cadangan Abu Bakar supaya tiga bekas ADUN Pas digugurkan keahlian parti dikekalkan sebagai wakil rakyat walaupun berstatus Bebas.
“Tak perlu campur tangan urusan parti lain. Tiga bekas ADUN Pas itu terhenti keahlian kerana langgar disiplin yang termaktub jelas dalam Perlembagaan parti. Pas tidak boleh bertolak ansur dengan isu disiplin seperti ini. MB cukup jaga negeri.
“Pastikan tidak jadi MB Perlis tersingkat dalam sejarah, cukup dah tu,” sambil mengingatkan Pas juga boleh bermain politik serta berperang.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu merujuk kepada kenyataan Abu Bakar, dua tahun lalu yang mengisytihar perang terhadap Shukri Ramli ketika ADUN Sanglang berkenaan menjadi Menteri Besar kerana tidak dilantik exco kerajaan negeri.
“Tapi itulah, ADUN Pas ni bukan macam MB dan parti kami bukan macam parti MB. Rakyat lebih utama,” kata Ahmad Fadhli.
Semalam, Abu Bakar berkata Ridzuan, Fakhrul dan Saad masih memegang mandat untuk menjaga kebajikan pengundi di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, langkah untuk mengekalkan mereka sebagai ADUN dapat mewujudkan kestabilan politik dan menyelesaikan saman dihadapi Speaker DUN Datuk Rus’sele Eizan.
Tiga bekas Adun PAS itu memfailkan semakan kehakiman terhadap Rus’sele di Mahkamah Tinggi Kangar selepas kerusi mereka diisytiharkan kosong.
Kerusi-kerusi itu diisytiharkan kosong susulan tindakan Pas menamatkan keahlian mereka selepas mereka didakwa menarik balik sokongan Shukri ketika krisis politik tahun lalu.
Bagaimanapun apa yang berlaku di Perlis dilihat akan memanaskan hubungan antara Bersatu dengan Pas yang ketika ini dikatakan ‘dingin’ berikutan isu jawatan Pengerusi PN yang disokongkan oleh Muhyiddin.
Ia berikutan dakwaan Bersatu akan menolak cadangan Pas untuk mencalonkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Samsuri Mokhtar.


