PDRM tumpas sindiket bangunkan sistem judi dalam talian di 3 negeri

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan perjudian dalam talian, dengan menahan 388 individu dalam serbuan serentak di 17 premis perniagaan dan kediaman membabitkan pembangunan sistem sokongan operasi dan promosi perjudian bagi pasaran dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, Ops Angsa dilaksanakan serentak mulai jam 2.30 petang semalam di sekitar di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, sasaran operasi adalah individu dan syarikat yang dipercayai terbabit dalam pembangunan sistem sokongan operasi, platform dan promosi perjudian dalam talian untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Katanya, serbuan dilakukan dengan penglibatan 372 polis terdiri dari 104 pegawai kanan dan 268 anggota pangkat rendah membabitkan pelbagai elemen di dalam JSJ yang diterajui oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

“Jumlah tangkapan keseluruhan seramai 388 orang iaitu 236 lelaki dan 152 wanita berusia antara 20 hingga 48 tahun.

“Daripada jumlah itu, lapan orang adalah warga asing iaitu seorang Vietnam, seorang Singapura, dua Thailand dan empat Indonesia berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, PDRM turut merampas pelbagai perkakasan dan peralatan yang disyaki digunakan dalam membangunkan platform perjudian dalam talian.

Katanya, turut dirampas dua kenderaan mewah jenis Lamborghini dan BMW serta beberapa utas jam tangan mewah pelbagai jenama.

“Semua tangkapan dibenarkan reman di antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan.

“Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka iaitu satu di Kuala Lumpur, dua di Selangor dan empat di Pulau Pinang,” katanya.

Kumar memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4B(a)/ 4B(b), 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

“Siasatan akan diteruskan termasuk menjurus kepada tanggungan pemegang jawatan dalam pertubuhan atau syarikat selaras peruntukan Seksyen 20A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, PDRM sentiasa komited dalam membanteras aktiviti perjudian kerana jenayah ini membawa impak negatif yang signifikan kepada kestabilan ekonomi negara dan keruntuhan sosial.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img