Pegawai 69 Komando meningga dunia ketika jalani latihan menyelam di Semporna

SEORANG pegawai pasukan 69 Komando (VAT 69) dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna hari ini.

Dalam kejadian jam 10.25 pagi, Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin dilaporkan tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam yang dijalankan di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pulau Mataking.

Difahamkan, Allahyarham bersama sepasukan anggota Team Charlie VAT 69 tiba di jeti sekitar jam 8 pagi sebelum bergerak ke lokasi latihan selepas membuat persiapan peralatan.

Maklumat kecemasan diterima selepas pihak sebuah resort berhampiran memaklumkan pegawai terbabit tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam dijalankan, lapor Harian Metro.

Bantuan awal termasuk pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) segera diberikan oleh kakitangan resort bersama anggota VAT 69 yang berada di lokasi.

Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari lokasi latihan dan dihantar menggunakan bot ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Allahyarham memegang jawatan Troop Commander 9, Skuadron C, 69 Komando yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya berkata, beliau amat sedih menerima berita kehilangan pegawai PDRM itu hari ini dan kali ini adalah insiden semasa latihan menyelam di Pos Gabungan PDRM-ATM Pulau Mataking, Semporna, Sabah.

‘’Saya dimaklumkan bahawa pegawai kanan dari VAT69 Komando, Allahyarham Inspektor Khairul Azhar bin Kamaruddin telah terkorban semasa menjalani latihan tersebut dan sesungguhnya kehilangan beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada seluruh pasukan PDRM dan warga KDN.

‘’Takziah daripada saya buat keluarga beliau. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Inspektor Khairul Azhar bin Kamaruddin, mengampunkan dosa-dosa beliau, dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Saya turut mendoakan agar Allah SWT menganugerahkan pahala untuk segala jasa sumbangan beliau kepada negara,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img