Pegawai kanan TLDM didakwa paksa kontraktor sewa hotel miliknya – Azam

SIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang memiliki dua hotel didakwa memaksa kontraktor untuk menyewa penginapan dengannya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu itu didakwa menuntut enam ke lapan kontraktor menyewa hotel miliknya bagi menempatkan pekerja mereka.

“Sebabnya kontrak dengan TLDM menggunakan pekerja luar, jadi mereka perlu penginapan. Dipaksanya (kontraktor) untuk bayar. Jadi, nak tanya sekarang saya nak tuduh pemberi ke penerima?.

“Ini yang penerima ini ada dua hotel,” katanya dalam Podcast Kolar Hitam, hari ini.

Dalam kes itu, Azam berkata, pemberi rasuah sentiasa dalam ketakutan.

“Kehidupan mereka dalam satu tekanan dan paksaan… bisnes dia juga akan bankrap,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM terus mempergiat tindakan dalam siasatan Op Layar berkaitan dakwaan rasuah perolehan projek TLDM dengan membekukan 21 akaun bank serta menyita aset dianggarkan RM2 juta.

Menurut sumber, tindakan itu diambil susulan siasatan ke atas syarikat-syarikat dipercayai terbabit rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM.

Katanya, pembekuan akaun itu termasuk tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan kira-kira RM700,000.

Sumber berkata, setakat ini SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara (AGC) sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM turut menyita dua hotel milik pegawai kanan TLDM berkenaan bernilai kira-kira RM2 juta.

“Pada masa ini SPRM sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki suspek dan turut mengesan pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img