‘’Peguam Anwar larang saya mengulas, soalan diajukan tak relevan, jadi saya mungkin meninggal dunia sebelum kes ini selesai’’ –  kata Dr.Mahathir

“PEGUAM Anwar melarang saya mengulas soalan yang mereka ajukan dan hanya menyuruh saya jawab setuju atau tidak setuju. Bukan itu sahaja, soalan yang diajukan tidak relevan dengan kes saman fitnah ini, jadi saya mungkin meninggal dunia sebelum kes ini selesai.’’.

Itulah luahan bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis apabila peguam yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melarangnya membuat ulasan.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang berusia 100 tahun itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dalam kes saman fitnah RM150 juta berhubung ucapan Perdana Menteri ke-10 itu dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: ‘Perlaksanaan Sebuah Idealisme’, dua tahun lalu, lapor Sinar Harian.

Ketika itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Anwar, 78, bertanya mengenai kekalahan teruk parti Pejuang dalam pilihan raya kecil (PRK) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Pejuang berkata, isu yang perlu diketengahkan ialah dakwaan fitnah Ahli Parlimen Tambun terhadapnya.

Kata beliau,  peguam menyerang dengan soalan-soalan peribadi sama ada beliau seorang yang baik atau jahat sedangkan kata Dr.Mahathir, Anwar menuduhnya mencuri wang, tidak membayar cukai, menyalurkan wang ke luar negara dan memperkayakan anak-anak termasuk kroni.

“Soalan-soalan yang dikemukakan Ranjit mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk diselesaikan. Saya tidak ada masa, Yang Arif, kerana saya sudah berusia 100 tahun, saya tidak mampu jawab semua soalan ini,” katanya.

Dr Mahathir juga sempat berseloroh apabila seorang lagi peguam Anwar, Razlan Hadri Zulkifli memberitahu pihaknya berhasrat untuk menyoal lanjut dalam prosiding akan datang.

“Kalau begini, saya akan hidup sehingga berumur 200 tahun,” kata Dr Mahathir.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Donald Joseph Franklin menangguhkan prosiding tersebut ke Rabu minggu depan.

Pada 3 Mei 2023, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan, Dr Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.

Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Sedangkan katanya, kenyataan berkenaan tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img