POLIS memaklumkan telah menerima semula kertas siasatan berhubung kes kematian murid tahun empat yang ditemui tidak sedarkan diri di tandas sebuah sekolah di Senawang, di Seremban awal bulan lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima semula kertas siasatan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) itu semalam.
Beliau berkata, terdapat arahan baharu yang perlu dilakukan dan memohon mana-mana pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.
“Polis Negeri Sembilan menerima semula kertas siasatan dari AGC pada 3 November lalu dan terdapat arahan baharu yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan dikembalikan semula kepada Peguam Negara.
“Memandangkan kertas siasatan masih dalam proses dilengkapkan sepenuhnya, dipohon mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Alzafny berkata, polis akan memaklumkan keputusan siasatan sebaik sahaja mendapat arahan daripada AGC.
Media sebelum ini melaporkan, polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu selepas siasatan menyeluruh dibuat membabitkan pelbagai elemen kepakaran.
Bagaimanapun, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, tampil dalam sidang media semalam mendakwa dia diberikan satu buku catatan yang mengandungi tulisan ugutan bunuh yang ditujukan kepada anaknya.
Muhammad Hafizuddin dilaporkan berkata, pihaknya juga tertanya-tanya mengenai keputusan selepas siasatan disiapkan sepenuhnya.
Dia juga mendakwa tidak menerima sebarang perkembangan sejak kali terakhir ditemui pegawai siasatan, 5 Oktober lalu.
Media awal bulan lalu melaporkan, punca kematian kanak-kanak berkenaan disebabkan tekanan pada leher dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.
UNDILAH | 



