”Kami ingin menegaskan bahawa Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) tidak mempunyai sebarang urusan atau hubungan perniagaan dengan Israel. F&NHB kekal komited untuk menghormati sensitiviti masyarakat tempatan dan sentimen pengguna kami”
F&N hari ini menjelaskan, mereka mengambil maklum dengan kebimbangan yang timbul susulan penyebaran sebuah video di media sosial berkenaan penggunaan bahasa pada pembungkusan produk Gold Coin keluaran syarikat itu.
Dalam satu kenyataan syarikat itu berkata, produk tersebut telah dieksport secara eksklusif untuk manfaat pasaran Palestin.
‘’Pada pembungkusannya tertera dengan jelas bahawa produk ini diimport oleh pelanggan kami, Food Collection Co., yang berpusat di Bandar Ramallah, Palestin, serta memaparkan teks dalam bahasa Inggeris, Arab dan Ibrani selaras dengan syarat tempatan seperti yang diminta oleh pelanggan kami,’’ kata kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, kenyataan tersebut menegaskan, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) tidak mempunyai sebarang urusan atau hubungan perniagaan dengan Israel.
‘’ F&NHB kekal komited untuk menghormati sensitiviti masyarakat tempatan dan sentimen pengguna kami, serta berdiri seiring dengan mereka yang memperjuangkan keamanan dan keadilan.
‘’Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana telah memaklumkan perkara ini kepada kami dan amat menghargai kepercayaan yang berterusan terhadap kami. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian pengguna kami di 1800-88-1988 atau groupcomms@fn.com.my.,’’ kata kenyataan berkenaan.

Isu itu menjadi tular apabila seorang rakyat Palestin, Samer Alhassanat di Gaza City mempersoalkan produk Gold Coin yang mempunyai logo ‘halal’ Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tetapi balutan dalam bahasa Ibrani.
Melalui akaun tik tok beliau mempersoalkan bagaimana susu itu boleh menggunakan logo Jakim tersebut.
‘’Pada pembalut tin itu tertulis ‘original Malaysia’, di sini tulis F&N tetapi siap-siap untuk negara Israel..ada bahasa Ibrani, dia bagi logo…logo itu sijil negara Israel. Barang ini dijual di Israel tapi sudah sampai ke Gaza,’’ dakwanya.
UNDILAH |



