SEORANG pelajar lelaki ditahan polis selepas disyaki mencederakan ayah kandungnya menggunakan pisau dalam kejadian di ibu negara pada 17 November lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.42 petang.
Menurutnya, kejadian berpunca daripada salah faham antara suspek dan mangsa (ayahnya) berusia 47 tahun.
“Remaja berkenaan bertindak menoreh bahagian belakang badan dan lengan kiri menggunakan pisau sehingga menyebabkan kecederaan.
“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat luka yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama tiga hari bermula semalam hingga esok.


