PARAS air banjir di Hatyai, Thailand hari ini dilaporkan semakin meningkat sehingga mencecah tingkat satu hotel penginapan 36 pelajar dan empat pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas di bandar tersebut sejak Isnin lalu.
Situasi itu menyebabkan arus air di kawasan sekitar kian deras sehingga menyukarkan usaha pasukan menyelamat untuk sampai ke lokasi mereka.
Wakil pelajar universiti itu, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi berkata, sehingga jam 8.18 pagi (waktu Thailand) keadaan pelajar dan staf masih terkawal namun mereka kini bergantung sepenuhnya kepada air hujan untuk keperluan harian termasuk mandi dan membuang air.
“Kami hanya bergantung kepada bekalan makanan yang disalurkan oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla. Namun, jumlahnya sangat terhad dan terpaksa dikongsi sesama kami.
“Saya sangat berharap agar ada bantuan lain yang boleh disalurkan kepada kami, khususnya dari segi bekalan makanan. Setakat ini, hanya konsulat yang membantu,” katanya dalam satu hantaran WhatsApp kepada pihak UUM pagi ini.
Menurutnya, kekangan logistik akibat banjir menyukarkan sebarang bentuk penghantaran bantuan tambahan ke lokasi mereka.
Semalam, UUM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi pemindahan ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat yang melanda Hatyai sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, tindakan ini dibuat setelah mengambil kira makluman situasi semasa dan arahan daripada pihak berkuasa tempatan.
Koordinasi antara Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan pihak berkuasa Hatyai akan dilaksanakan secepat mungkin apabila keadaan cuaca mengizinkan.
Kesemua pelajar dan pensyarah terbabit merupakan peserta program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, UUM.
Mereka dijadualkan pulang ke tanah air selepas tamat program, namun terpaksa menangguhkan perjalanan susulan bencana banjir yang melanda wilayah selatan Thailand.


