PELAJAR lelaki yang memijak al-Quran di Kuantan, Pahang akan didakwa di mahkamah esok dan berdepan dua pertuduhan.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sudah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
AGC berkata, hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap Orang Yang Disyaki (OYDS).
“Jabatan ini telah memutuskan untuk mendakwa OYDS di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang mana perbuatan itu dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia adalah suatu penghinaan terhadap agama Islam.
“Selain itu, AGC turut memutuskan untuk mendakwa pelajar terbabit di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Jelas AGC, Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


