SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Lima parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah di daerah Sungai Petani, hari ini.
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu yang juga orang kurang upaya (OKU) itu dilaporkan terjatuh pada jam 12.15 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pondok polis Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menerima aduan dari Jabatan Kecemasan HSAH berhubung keadaan pesakit lelaki berusia 17 tahun dalam keadaan cedera parah.
“Daripada laporan pertama ini, kita telah membuat semakan dan pemeriksaan yang mana pada pagi tadi, antara jam 8 hingga 9 pagi, seorang pelajar dikatakan telah jatuh dari tingkat empat bangunan pentadbiran sekolah.
“Bahagian atasnya pula adalah kelas-kelas pelajar. Pihak sekolah memaklumkan kejadian berlaku ketika perhimpunan pagi di ruang utama dan pelajar yang kita sedang siasat ini dikatakan tidak menghadiri perhimpunan terbabit,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.
Hanyan berkata, mangsa yang dipercayai menghidap autisme patah tangan kiri akibat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya sudah meneliti dua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah berkenaan tetapi tidak menunjukkan keseluruhan kejadian.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.


