PELAKON lelaki terkenal ditahan polis selepas ujian saringan awal air kencing terhadapnya didapati positif dadah.
Menurut sumber, pelakon berusia 40-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada semalam dan direman tiga hari sehingga esok.
“Difahamkan, dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Akta 15(1)(a) Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan ujian saringan air kencing yang didapati positif.
“Kertas siasatan difahamkan sudah dilengkapkan dan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya, lapor Harian Metro.
Sumber berkata, difahamkan pelakon terbabit akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan pengesahan polis berhubung penahanan suspek.
Sebelum ini, pelakon terbabit turut pernah ditahan berkaitan dadah apabila Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman selepas mendapati pelakon itu bersalah kerana menggunakan dadah dikenali THC.
Bagaimanapun, pelakon itu terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan membenarkan dia membayar hukuman denda RM5,000.


