`Pelaku pedofilia boleh ditangkap’ – Fahmi

SEBARANG penyalahgunaan rangkaian komunikasi bagi tujuan penghantaran kandungan melanggar undang-undang termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM) membolehkan pelaku ditahan dan diambil tindakan undang-undang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, undang-undang sedia ada telah dipinda bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti CSAM dan pedofilia.

“Kita telah meminda undang-undang supaya mereka yang terlibat dalam aktiviti CSAM dan pedofilia boleh ditangkap sekarang.

“Jika sebelum ini, berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, terdapat kekangan tertentu, namun kini tindakan boleh diambil,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang berlangsung di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Fahmi, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman juga telah mengguna pakai peruntukan undang-undang berkenaan dalam menjalankan siasatan serta penguatkuasaan terhadap kes-kes melibatkan penyalahgunaan kandungan dalam talian.

Mengulas isu penggunaan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, pada ketika ini kesalahan yang dikenal pasti adalah tertumpu kepada penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian, khususnya bagi tujuan penghantaran mesej atau kandungan yang bersifat jelik melampau.

“Kesalahan adalah terhadap individu yang menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian untuk berkomunikasi dan menghantar kandungan jelik melampau. Fokus kita sekarang ialah kepada pihak yang menghantar mesej dan kandungan penyalahgunaan rangkaian,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, penggubalan undang-undang khusus bagi mengawal selia penggunaan aplikasi AI kini diserahkan kepada Kementerian Digital.

Beliau menjelaskan, lazimnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berperanan melesenkan perkhidmatan berkaitan, namun kerajaan masih meneliti keperluan untuk mewujudkan mekanisme pelesenan khusus terhadap aplikasi AI.

“Kita sedang meneliti perkara ini, termasuk kemungkinan mendapatkan dapatan atau saranan daripada badan-badan penguatkuasaan sekiranya perlu melesenkan aplikasi-aplikasi AI. Sekiranya perlu, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini belum ada akta khusus berkaitan kawal selia AI dan sebarang keputusan berkaitan pelesenan aplikasi tersebut masih dalam peringkat kajian.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img