SEORANG pelancong yang mengambil 14 kilogram batu kerikil dari Pulau Co To, Vietnam sejak sedekad lalu akhirnya memulangkannya semula bersama sepucuk surat permohonan maaf.
Jabatan Kebudayaan dan Maklumat Co To memaklumkan, bungkusan itu diterima pada 17 November lalu dan turut mengandungi sumbangan 100,000 dong (lebih kurang RM15.68).
Pelancong berkenaan, Vu Nguyen mengambil batu berkenaan dari Pantai Mong Rong antara tahun 2015 hingga 2018 kerana tertarik dengan keindahan dan keunikannya.
Nguyen nekad menghantar semula semua batu tersebut selepas mengetahui kepentingan pemuliharaan marin.
“Saya telah menjejaskan keindahan asli pulau ini. Saya memohon maaf dan berharap batu-batu ini dapat dikembalikan ke lokasi asalnya,” katanya dalam surat berkenaan.
Menurut VnExpress, tindakan itu merupakan kes pertama dilaporkan dalam tempoh beberapa tahun.
Ketua Jabatan Kebudayaan dan Maklumat Co To, Nguyen Hai Linh menyifatkan, langkah itu sebagai contoh terbaik pelancongan bertanggungjawab.
“Saya berharap ia dapat meningkatkan kesedaran awam terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya.
Pihak berkuasa turut mengingatkan pelancong supaya tidak membawa pulang batu, karang atau hidupan marin sebagai cenderahati kerana boleh menjejaskan ekosistem pantai.



