LELAKI yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Chaning ketika sedang memancing di Jambatan Chaning, Pahi, Kuala Krai pada malam Rabu lalu ditemukan lemas malam tadi.
Mayat Ahmad Amirul Zawawi, 23, yang juga pekerja restoran makanan segera di Kuala Krai, ditemukan oleh penduduk kampung pada pukul 11 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa terjatuh.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 9.26 malam, Rabu lalu.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selama dua hari membabitkan seramai 36 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Machang, BBP Pengkalan Chepa, BBP Pengkalan Kubur serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Bagaimanapun, pada hari kedua SAR, mayat mangsa ditemukan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai bagi tindakan lanjut,” katanya, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Chaning ketika sedang memancing di Jambatan Chaning, Pahi, malam Rabu lalu.
Difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya sedang memancing di jambatan berkenaan dan kehilangannya disedari oleh salah seorang rakan.


