SEORANG pemancing ditemukan mati lemas selepas terjatuh dalam sungai berhampiran Masjid Panglima Bayu, di Tanah Merah, Kelantan hari ini dipercayai akibat diserang sawan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Pegawai Bomba Kanan Alias Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa lelaki berusia 25 tahun itu pada jam 3.03 petang.
“Enam anggota bomba dan penyelamat segera menjalankan pencarian dan menemukan mangsa di dalam sungai berkenaan.
“Berdasarkan maklumat daripada adiknya, mangsa secara tiba-tiba diserang sawan lalu terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Menurut Alias, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, rakan mangsa, Ahmad Aris Risqi Lukman Hakim, 15, berkata, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang ketika mangsa memancing bersama adiknya berusia 10 tahun.
“Adik mangsa pulang ke rumah dan memaklumkan kepada ibu mereka bahawa mangsa terjatuh dalam sungai, sebelum ibu mangsa meminta saya membantu mencari serta menghubungi bomba.
“Kami sering memancing di sungai itu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.


