SEORANG penunggang motosikal yang mahu menjemput anak dari sekolah maut selepas motosikalnya dirempuh pemandu Perodua Myvi dipercayai microsleep di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Melaka petang ini.
Kemalangan kira-kira jam 2 petang itu membabitkan enam buah kenderaan, termasuk tiga motosikal dan turut mengakibatkan tiga lagi individu cedera.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, yang menunggang Honda EX5 dari arah Bukit Beruang, sedang berhenti di persimpangan terbabit.
Beliau berkata, tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 35 tahun dari arah bandar Melaka ke Bukit Beruang dipercayai mengalami microsleep sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh lima kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.
“Mangsa penunggang motosikal dari Taman Merdeka yang mengalami kecederaan parah di kepala, muka dan badan, meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, keputusan ujian pernafasan dan saringan dadah terhadap pemandu kereta yang juga pekerja logistik itu didapati negatif, namun sampel darah diambil untuk ujian toksikologi lanjut di Jabatan Kimia Melaka.
“Polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada saksi bebas yang berada di belakang kenderaan terbabit bagi membantu siasatan. Pemandu terbabit juga akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh bagi permohonan reman esok,” katanya.
Terdahulu tular video kejadian berdurasi 41 saat tular dalam media sosial, memaparkan Perodua Myvi itu dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum merempuh lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat.


