PEMANDU e-hailing yang disyaki terbabit dengan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita hingga videonya tular di media sosial sudah ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, pemandu berusia 26 tahun itu ditahan semalam di sekitar bandar raya Johor Bahru.
Katanya, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita warga Vietnam semalam berhubung kejadian cabul kehormatan yang didakwa berlaku di dalam kenderaan e-hailing yang dinaiki mangsa.
“Rakaman video berkaitan kejadian itu tular di media sosial sejak 2 Februari lalu, sebelum mangsa tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun di kawasan Johor Bahru pada 4 Februari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, turut dirampas daripada suspek ialah dua unit telefon bimbit serta sebuah kenderaan Perodua Bezza berserta kunci dan alat kawalan jauh.
Katanya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman dan mahkamah membenarkan perintah reman selama tiga bermula hari ini sehingga Sabtu ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan serangan atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seseorang.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.
Terdahulu, polis sedang mengenal pasti pemandu e-hailing yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita di sini susulan video tular di media sosial.
Video berkenaan dipercayai dirakam oleh penumpang wanita terbabit.
Susulan insiden itu, Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu itu selain tidak membenarkannya berkhidmat di semua platform e-hailing serta-merta.


