Pemandu lori maut, tujuh cedera kemalangan libat bas ekspres, dua lori

SEORANG lelaki maut manakala tujuh individu cedera termasuk seorang kanak-kanak perempuan dalam nahas membabitkan sebuah bas ekspres, lori dan treler di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Rawang, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata mangsa yang maut adalah pemandu lori bonded yang tersepit di dalam kenderaan itu.

“Lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lima penumpang bas cedera terdiri daripada empat lelaki dengan seorang daripadanya parah serta seorang kanak-kanak perempuan, kesemuanya dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Turut cedera ialah seorang lelaki berusia 39 tahun yang merupakan kelindan lori bonded serta pemandu  treler dengan kedua-duanya turut dibawa ke hospital sama.

Secara keseluruhan, Ahmad Mukhlis berkata sebanyak 31 individu terlibat dalam insiden itu terdiri daripada 16 lelaki, lima perempuan dan tujuh kanak-kanak daripada bas ekspres jenis Scania; dua lelaki (lori bonded) serta seorang lelaki daripada treler.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.12 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dan Rawang tiba di lokasi kejadian pada 5.21 pagi.

Operasi menyelamat melibatkan 16 anggota bomba dengan bantuan jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Emergency Response Motorcycle (ERMS) dari BBP Bukit Sentosa serta Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Rawang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img