SEORANG lelaki berada di bawah pengaruh alkohol ditahan selepas kereta dipandunya merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim di ibu negara awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 pagi semasa suspek berusia 21 tahun itu memandu Toyota Vios dari arah Bukit Damansara.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Kemalangan menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan bollard pole serta barrier gate,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan dan menjalankan ujian pernafasan pemandu dalam siasatan kejadian itu.
“Ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166 miligram per 100 mililiter darah, iaitu melebihi had dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata Pejabat Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pemandu itu dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.


