SEORANG pemandu Perodua Myvi yang dipercayai mengalami ‘microsleep’ sebelum merempuh lima kenderaan sehingga menyebabkan seorang peniaga makanan maut, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Tertuduh, Ng Chun Twan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohd Shahrul Anuar Md Roby, 44, di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Lebuh Ayer Keroh kira-kira jam 1.30 petang pada 10 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda minimum RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani yang mencadangkan jaminan RM20,000 beserta syarat tambahan lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan dia tidak berpendapatan tinggi dan hanya bekerja sebagai pekerja dalam bidang logistik.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan lesen memandu ditahan serta perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran selain menetapkan sebutan semula kes pada 2 April depan.
Dalam kejadian 10 Februari lalu, seorang penunggang motosikal yang mahu menjemput anak dari sekolah maut selepas motosikalnya dirempuh pemandu Perodua Myvi dipercayai microsleep di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu.
Kemalangan kira-kira jam 2 petang itu membabitkan enam buah kenderaan, termasuk tiga motosikal dan turut mengakibatkan tiga lagi individu cedera.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, Mohd Shahrol Anuar yang menunggang Honda EX5 dari arah Bukit Beruang, sedang berhenti di persimpangan terbabit sebelum dirempuh Myvi berkenaan.


