SEORANG pembantu operasi Jabatan Kerja Raya didakwa di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini atas 39 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM30,000 sebagai dorongan tidak memantau kerja penyelenggaraan jalan di daerah ini antara 2020 hingga 2022.
Tertuduh, Abdul Rahim Salleh, 59, mengaku tidak bersalah sejurus semua 39 pertuduhan dibacakan lebih sejam terhadapnya di hadapan Hakim Elsie Primus, lapor Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang sudah berkhidmat 41 tahun di jabatan terbabit didakwa menerima suapan daripada pengurus akaun dan penyelia tapak syarikat Caserina Development Sdn Bhd, masing-masing antara RM200 hingga RM1,500 bagi setiap transaksi yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Mei 2020 hingga 1 Ogos 2022 di sebuah bank di Jalan Utara, sebagai dorongan supaya tidak menyelia kerja penyelenggaraan kontrak Jalan Sungai Mas, Jalan Maria dan Jalan Mull yang dilaksanakan syarikat terbabit.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Peguam Nur Hafizah Husna Elahab yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan rendah dikenakan atas faktor anak guamnya mempunyai tanggungan dua anak, termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan perbelanjaan RM800 sebulan, sementara pendapatan beliau hanya RM2,500 sebulan selain menekankan tertuduh tiada rekod jenayah lalu.
Mahkamah membenarkan Abdul Rahim diikat jamin RM40,000 dengan deposit RM15,000 dan dua penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat SPRM Tawau sebulan sekali, tidak mengganggu saksi, dan dilarang memohon pasport atau dokumen perjalanan antarabangsa.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Pengurusan Kes Pra-Perbicaraan (PTCM) ditetapkan 11 Mei depan.


