Oleh: Shahbudin Embun
KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membekukan semua perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar dilihat sebagai satu langkah berani, dan tepat pada masanya.
Dalam suasana ketidaktentuan, kekeliruan serta persoalan serius berkaitan integriti proses perolehan pertahanan, pembekuan ini bukanlah tindakan reaktif, sebaliknya satu keputusan strategik yang berpaksikan kebijaksanaan dan kepentingan negara.
Dalam falsafah peperangan Carl von Clausewitz, beliau menegaskan bahawa “the first, the supreme, the most far-reaching act of judgment that the statesman and commander have to make is to establish the kind of war on which they are embarking.”
Dalam konteks semasa, Perdana Menteri jelas memahami bahawa “perang” yang sedang dihadapi bukanlah peperangan bersenjata, tetapi peperangan terhadap rasuah, ketirisan dan pengkhianatan amanah dalam sistem pertahanan negara.
Apabila medan menjadi kabur, musuh tidak dikenal pasti sepenuhnya, dan rangkaian yang terlibat masih dalam siasatan, langkah paling rasional bukanlah meneruskan pergerakan secara membuta tuli, sebaliknya menghentikan sementara operasi untuk menilai semula keseluruhan landskap.
Clausewitz turut mengingatkan bahawa kekeliruan atau fog of war merupakan sifat semula jadi konflik; dan pemimpin yang bijaksana ialah mereka yang tahu bila perlu mara dan bila perlu berhenti.
Pembekuan perolehan ATM ini harus difahami sebagai satu strategic pause — satu hentian terkawal bagi mengelakkan kerosakan yang lebih besar terhadap institusi pertahanan negara.
Dalam keadaan belum jelas siapa yang terlibat, sejauh mana skala penyelewengan, serta bagaimana modus operandi dilaksanakan, meneruskan perolehan hanya akan membuka ruang kepada ketirisan berulang, kontrak bermasalah dan kerugian strategik jangka panjang.
Malah, skop pembekuan ini wajar dipertimbangkan untuk diperluaskan secara lebih berani dan menyeluruh. Dicadangkan agar semua tender perolehan yang telah diluluskan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini turut dibekukan sementara bagi diaudit semula secara komprehensif. Cadangan ini bukan bertujuan menghukum tanpa bukti, tetapi untuk membersihkan sistem secara tuntas serta memulihkan keyakinan awam, warga ATM dan rakan strategik antarabangsa terhadap integriti pertahanan negara.
Selain itu, semua keputusan berkaitan kenaikan pangkat, pertukaran jawatan dan pemberhentian, termasuk keputusan Mesyuarat Angkatan Tentera (MAT) yang terbaharu, juga wajar dibekukan buat sementara waktu bagi memastikan pihak yang terlibat dapat dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan.
Langkah ini penting bagi mengelakkan pembentukan semula rangkaian baharu atau kesinambungan kartel rasuah dalam struktur kepimpinan dan pengurusan.
Bagi memastikan ketirisan tidak berulang, satu pembaharuan struktur yang menyeluruh perlu dilaksanakan.
Dicadangkan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Persekutuan bagi Perolehan Pertahanan yang benar-benar bebas, berwibawa dan berintegriti. Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh pakar tulen dalam bidang peralatan ketenteraan darat, laut, udara, siber dan logistik, serta individu yang telah melalui tapisan integriti yang ketat dan terbukti berwibawa.
Jawatankuasa ini perlu berperanan sebagai pemutus terakhir sebelum sebarang kontrak perolehan ditandatangani. Lebih penting, jawatankuasa ini hendaklah melaksanakan amanah atas nama Yang di-Pertuan Agong, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, dan melapor secara langsung kepada Tuanku. Susunan ini bukan sahaja memperkukuh mekanisme semak dan imbang, malah mengangkat kembali roh Perlembagaan dalam tadbir urus pertahanan negara.
Clausewitz juga mengingatkan bahawa peperangan adalah kesinambungan politik dengan cara lain. Dalam konteks ini, reformasi perolehan pertahanan merupakan kesinambungan kepada agenda reformasi nasional — memastikan kuasa, dana dan persenjataan negara tidak disalah guna oleh segelintir pihak yang mengkhianati amanah.
Keputusan Perdana Menteri ini wajar diberikan pujian, bukan cercaan. Ia menuntut keberanian politik, kesanggupan menanggung tekanan dan kesedaran bahawa kekuatan sebenar angkatan tentera bukan terletak pada nilai perolehan semata-mata, tetapi pada integriti sistem yang menyokongnya.
Tahniah Perdana Menteri. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keputusan yang tegas, berprinsip dan berpandangan jauh inilah yang membezakan seorang pentadbir biasa daripada seorang negarawan.
- Penulis adalah Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Negara, Majlis Perundingan Melayu (MPM).
*Hantarkan komen dan artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com


