PEMERINTAH Thailand mengumumkan pelan kecemasan tiga fasa bagi menghadapi kemungkinan krisis tenaga berskala penuh, termasuk pelaksanaan catuan bahan api serta had waktu operasi stesen minyak dan pusat beli-belah, sekiranya konflik di Asia Barat menyebabkan penutupan dua laluan maritim utama dunia.
Jurucakap Pusat Pemantauan Situasi Asia Barat, Nuttaa Mahattana, berkata perancangan itu mengambil kira tiga aspek utama iaitu perkembangan risiko di rantau berkenaan dan kesannya terhadap pengurusan tenaga negara, langkah yang diambil negara lain, serta tindakan oleh Kementerian Perdagangan.
Menurutnya, ketegangan di Asia Barat terus meningkat. Walaupun Thailand berjaya memastikan laluan kapal melalui Selat Hormuz, kebimbangan semakin memuncak terhadap kemungkinan gangguan di Selat Bab el-Mandeb, yang juga laluan penting penghantaran minyak dan perdagangan global.
Berikutan itu menurut beliau tiga senario telah dirangka oleh Kementerian Tenaga:
- Senario pertama melibatkan peningkatan risiko dengan kesan terhad seperti kelewatan penghantaran.
- Senario kedua membabitkan penutupan Selat Hormuz melebihi sebulan, namun import minyak mentah masih diteruskan dengan pelarasan pengeluaran oleh loji penapisan tempatan.
- Senario ketiga, yang paling serius, ialah menghentikan sepenuhnya import minyak mentah akibat penutupan kedua-dua laluan tersebut.
Nuttaa berkata Thailand kini berada pada fasa 2, tahap 2.2, di mana bekalan minyak masih mencukupi dan keadaan dijangka reda dalam tempoh sebulan.
‘’Bagi mengurangkan risiko, kerajaan telah mempelbagaikan sumber import, meningkatkan operasi enam loji penapisan kepada 109–110% kapasiti, menambah penggunaan biofuel, serta mengehadkan eksport kepada kegunaan penting sahaja.
Kerajaan negara itu juga bersedia meningkatkan langkah sekiranya situasi merosot ke fasa 3. Dalam paling buruk (fasa 3), kerajaan akan melaksanakan:
*catuan bahan api dengan keutamaan kepada hospital dan ambulans,
* had waktu operasi stesen minyak,
*kawalan penggunaan elektrik,
* penyesuaian waktu operasi pusat beli-belah.
Bagi diesel B20, penggunaannya terhad kepada kenderaan yang disahkan pengeluar, terutamanya lori dan pikap. Diesel standard di negara itu ialah B7 (7% biofuel). Setakat ini, 15 jenama kenderaan menyokong penggunaan B20.


