POLIS berjaya mengesan pemilik kenderaan asing yang didakwa mengisi petrol RON95 dengan taktik menutup nombor pendaftaran di sebuah stesen minyak di Kulai, Johor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, individu berstatus penduduk tetap (PR) itu kini berada di Singapura dan telah dihubungi untuk hadir segera ke bahagian trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengubah atau cuba menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan kerana menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial memaparkan tindakan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura sedang mengisi petrol RON95, yang berjaya dirakam seorang individu.
Media semalam melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas sebuah stesen minyak, susulan aduan dan maklumat yang tular.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata, tindakan diambil di bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan minyak petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.


