SATU perjumpaan khas melibatkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan diadakan di kediaman Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Ahad ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini.
“Ya, (ada perjumpaan Ahad ini). Perjumpaan biasa bagi mendengar amanat Presiden dan membincangkan usaha memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya kepada BH.
Mesyuarat yang dirancang itu berlangsung ketika pertelagahan kepemimpinan Bersatu semakin memuncak dengan desakan yang semakin kuat supaya Muhyiddin berundur sebagai Presiden parti, diikuti desakan balas supaya Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut meletakkan jawatan.
Sementara itu, seorang Ahli MPT Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin memberitahu, semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Senator dari Bersatu difahamkan menerima undangan menghadiri pertemuan tersebut.
ADUN Sungai Manik itu antara yang turut menerima undangan tersebut berkata, jemputan berkenaan dibuat melalui surat rasmi diedarkan secara peribadi dan pertemuan tersebut dijadual berlangsung di kediaman Muhyiddin.
“Saya rasa semua Ahli Parlimen, ADUN dan Senator dari Bersatu dapat cuma pemimpin di peringkat bahagian saya rasa tak terima kecuali mereka wakil rakyat.
“Pertemuan Ahad ini untuk apa saya tak pasti sebab tak dinyatakan,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, beberapa Ketua Bersatu Bahagian mengeluarkan kenyataan mengkritik kepimpinan Muhyiddin dengan gesaan agar pemimpin nombor satu Bersatu itu melepaskan jawatan.
Selain itu, Ahli MPT Bersatu, Yunus Nurdin secara terbuka menggesa Muhyiddin melepaskan jawatannya dalam parti dengan peranannya dipangku Hamzah.
Dalam masa sama, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz membidas Yunus dengan mencadangkan agar Hamzah yang sepatutnya melepaskan jawatan Timbalan Presiden parti.


