Pemimpinku bertautlah, jika gagal kami pilih opsyen lain

IBARAT  biduk kiambang bertaut.  Biduk dalam konteks pepatah ini bukan merujuk kepada perahu kecil diguna untuk memburu ikan di tasik, atau bintang buruj untuk navigasi pelayaran. Datuk nenek kita dulu gunakan biduk sebagai sesuatu yang simbolik, bagi menggambarkan perbalahan atau seteru dalaman yang berlaku.

Bergeseran itu lumrah. Bertelagah sehingga retak seribu juga kerap terjadi. Soalnya, bagaimana bangsaku bertaut kembali, setiap kali selepas sesuatu pergeseran itu? Bagaimana mereka mengenepikan perbezaan, malah melupakan sengketa, untuk kembali hidup rukun dan damai?

Tiada anehnya bangsaku diuji dengan pelbagai gelora. Dek nilai-budaya kami ibarat kiambang, lantas untuk berdamai. Itulah DNA kami.

Yang bermasalah hanyalah segelintir yang diamanahkan memimpin bangsaku. Entah apa sebenarnya yang berbuku di dada. Atau, bisanya hati ibarat ditusuk keris. Atau, termakan racun yang membarahkan benak. Inilah biduknya.

Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, biduk itu mengganas sehinggakan bangsaku berpecah-belah, malah ada yang berpatah arang berkerat rotan. Kerana gelora yang dicetuskan oleh biduk-biduk inilah juga ada pihak mengambil kesempatan melondehkan maruah, atau mendiskriminasi kesaksamaan peluang dan hak bangsaku.

Itulah padahnya bila kelambu dibakar, jangan nyamuk nak dipersalahkan. Kita juga ada kalanya curiga terhadap mereka itu tak tentu pasal.

Dalam kalangan mereka itu bukan semuanya bersikap demikian. Asal usulnya amat jauh berbeza. Nilai budaya sesama mereka juga ibarat bumi dengan langit. Tujuan dan cara mereka berhijrah dan seterusnya memilih untuk bermastautin di bumi berdaulat ini, ribuan tahun yang silam, juga berbeza-beza.

Lumrahlah jika ada puak-puak dalam kalangan mereka yang ekstremis atau cauvinis. Sayugia dikongsikan di sini, peringatan kepada bangsaku untuk waspada dengan puak-puak ini bukannya baharu. Hansard Parlimen Britain pada 10 November 1948, setebal 48 muka surat, merekodkan pandangan Lord Mancroft, mengenai suasana hubungan etnik di Tanah Melayu ketika itu.

Beliau mengamati gejala ini sekian lama, lantas memberanikan diri melaporkannya sedemikian rupa, kepada Parlimen Britain ketika itu. Semua anak bangsaku mesti cari, baca dan insafi mesej terkandung dalam hansard itu. Betul, kita diajar berlapang dada dan bersangka baik. Ada kalanya kita terlebih baik. Itu pun DNA kita.

Namun, berlapang dada membuta-tuli tanpa diadun dengan elemen kewaspadaan, pun ada
padahnya. Sudah-sudahlah menanakkan nasi untuk si dagang yang lalu.

Tidak dinafikan juga ramai dalam kalangan mereka yang komited berasimilasi dan menjadi sebahagian daripada kita. Dalam asimilasi nilai-budaya misalnya, lahirlah masyarakat baba dan nyonya. Dalam beragama, ramai yang seagama dengan kita.

Dalam berpolitik pula, ramai di antara datuk nenek mereka yang sepakat menyertai Parti Perikatan, bersama datuk nenek kita, memperjuangkan kemerdekaan.

Hatta, sebagai golongan berkeperibadian ASWJ dan konsisten dengan tuntutan dalam Islam, nawaitu kita ialah membina ukhwah, pertama, mestilah sesama kita dulu. Kita dituntut menterjemahkan amalan yang dilakukan dalam solat berjemaah, ke dalam ekosistem kehidupan, konsisten dengan maqasid syariah kedua, iaitu menjaga alam kehidupan.

Malah, sejak berzaman, bangsaku telah diasuh dengan pelbagai budaya, adab dan tertib, serta nilai dan kesopanan hidup bermasyarakat. Masih kuat semangat gotong royongnya, sekalipun budaya ini tidak lagi diutamakan dalam ekosistem kepemimpinan semasa.

Dengan yang demikian, usaha kiambang untuk bertaut, adalah usaha sesama kita, tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak luar, mengapa tercetusnya gelora sesama kita. Tidak perlu juga kita ungkit mengungkit, sekadar menegakkan benang yang basah.

Oleh yang demikian, fokus kita ialah kepada satu biduk ini. Satu kemelut ini. Bagaimana nak merungkai permasalahan ini. Khusus kepada satu dua karakter kepimpinan bangsaku, jika kuasa yang jadi rebutan di antara kamu, kamulah insan terbaik dalam kalangan kami,
merencana pelan damai sesama kamu, serta bagaimana kuasa itu boleh dikongsi mengikut sunnah Rasulullah.

Andai kata kamu gagal, kami semua akan pilih opsyen lain, sebab masa tidak menunggu kita. Akan tetapi, jika dendam kesumat yang membuku di dada, pergilah berdukun dengan tabib yang mampu mengubati penyakit itu.

Perlu dingatkan, dendam kesumat bukanlah sifat-sifat mahmudah bangsaku yang berkeperibadian ASWJ. Tidak keterlaluan jika dilabelkan pemimpin sedemikian sebagai pendakap sifat-sifat mazmummah yang dibenci Allah SWT.

Seingat kami, kesemua pemimpin yang bersengketa dan berdendam ini pernah diasuh bakat kepimpinannya dari satu acuan yang sama. Tentunya mereka masih menyimpan hati mulia seperti kiambang. Biduk itu sekadar gangguan iblis semata-mata. Tidaklah dendam mereka sampai ke tahap tergamak menggadaikan maruah dan kedaulatan bangsanya
serta tanah air ini.

Alhamdulillah, mula kedengaran dan semakin riuh di luar sana, biduk sedang berlalu pergi. Entah esok, entahkan lusa, damailah kiambang bertaut erat. Dikhabarkan juga, payung sudah dibuka untuk semua bangsaku, tanpa pengecualian, sama-sama berteduh di bawahnya.

Usahlah dihiraukan suara-suara sumbang dan sinis, yang akan terus menerus berbunyi, meragui hasrat kiambang untuk bertaut. Hendaknya kita semua reda dengan ketentuan-Nya Yang Maha Esa. Kita sedang diuji-Nya.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img