SEORANG pempengaruh media sosial rugi hampir RM360,000 selepas rumah di Sungai Long, Kajang dipecah masuk, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 9.03 pagi tadi.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati rumah itu dipecah masuk ketika penghuni tiada di rumah.
Beliau berkata, pengadu yang juga seorang penjawat awam lelaki berusia 32 tahun, memaklumkan sejumlah barangan berharga termasuk barang kemas milik isterinya serta empat topi keledar jenama Shoei dan Arai, telah hilang dalam insiden itu.
“Selain itu, dua motosikal jenis Yamaha RXZ dan Yamaha 135LC V8 yang diletakkan di dalam stor belakang rumah turut dilarikan. Pasukan forensik polis telah hadir ke tempat kejadian bagi menjalankan pemeriksaan untuk membantu siasatan.
“Keseluruhan kerugian dianggarkan hampir RM360,000,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.
Naazron berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan polis sedang mengesan suspek kes itu.
Beliau sekali gus meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli, melalui talian 017-2530380 untuk membantu siasatan polis.
Terdahulu, pempengaruh media sosial dikenali sebagai Nanad Bebe, menerusi akaun media sosial beliau memaklumkan kediamannya di Sungai Long telah dipecah masuk pada awal pagi tadi.
Wanita itu yang juga pengasas sebuah butik, turut memuat naik gambar harta benda termasuk dua motosikal yang dilarikan, dan memohon orang ramai membantu jika ternampak barangan itu.


