SEORANG pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap rakan perempuannya berusia 15 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Farish Hakimy Mohd Adham, 22, membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 10 bulan ketika kejadian.
Pemuda itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama. Jika disabitkan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan hubungan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama.
Kesalahan dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan jam 12.05 tengah malam 24 Mac lalu di sebuah rumah di Taman Bukit Margosa, Seremban.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat tambahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Jun depan.


