SEORANG lelaki yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang, berhampiran sangkar ikan patin Kampung Tebat, Paloh Hinai di Pekan semalam, ditemukan lemas petang ini.
Mayat Mohamad Yusof Abdullah, 19, berasal dari Kampung Paloh Hinai ditemukan pada jam 5.45 petang.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa ditemukan kira-kira 900 meter dari tempat dia dikatakan terjatuh.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat,” katanya hari ini, lapor BH.
Berdasarkan laporan, Balai Polis Paloh Hinai, Pekan menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mangsa pada jam 1.15 petang semalam.
Maklumat saksi di tempat kejadian memaklumkan bahawa mangsa dilihat terjatuh ke dalam sungai oleh seorang nelayan yang sedang menjala di kawasan berhampiran.


