SELEPAS `bermaharajalela’ melakukan kegiatan pecah masuk dan mencuri tabung kutipan derma masjid dan premis perniagaan di sekitar Muallim, Tapah dan Hulu Selangor, seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam jenayah tersebut akhirnya berjaya diberkas polis kelmarin.
Suspek memiliki 28 rekod jenayah lampau membabitkan kes samun, pecah rumah, curi serta dadah selain turut mempunyai dua rekod dikehendaki ditahan oleh sepasukan polis kira-kira jam 12 tengah hari di Jalan Escot, Hulu Bernam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, lelaki itu ditangkap hasil risikan dan pemantauan rapi yang dibuat pihak polis susulan laporan yang diterima pihaknya.
“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah masuk.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek terlibat dalam kes pecah kedai dan curi tabung surau serta masjid di daerah Muallim, Hulu Selangor dan Tapah melibatkan jumlah kerugian yang mencecah RM28,000,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Pada masa yang sama, Mohd Hasni turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang bekerjasama menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah terbabit.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-452 8222 untuk pihaknya melakukan siasatan.


